Rindukan Zaman Itu…Khalifah Umar Abdul Aziz


Baru satu abad telah berlalu, namun keadaan umat Islam jauh sekali berbeza
berbanding dengan zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabatnya dahulu.
Bibit-bibit jahiliyah yang dihapuskan Rasulullah s.a.w. telah mula
berputik kembali. Sifat suka mementingkan kabilah, semangat berpuak dan
mengutama saudara sendiri menjadi ciri-ciri baru kerajaan Islam pada masa
itu. Kerajaan tidak lagi dinilai dengan neraca al-Quran dan as-Sunnah,
tetapi diukur atas keperluan semasa dan kepentingan negara.
Pemimpin-pemimpin Islam sudah pandai bermewah-mewah, melakukan penindasan
dan bermegah diri. Sehinggakan Baitul Mal, jadikan sebagai harta peribadi
mereka. Masyarakat Islam pula semakin kaya dan leka, mereka semakin
meninggalkan penghayatan ilmu dan nilai-nilai Islam. Kekuatan hawa nafsu
dan bisikan syaitan telah mencampak mereka ke lembah kealpaan.

Kasih sayang tuhan mengatasi segala-galanya. Dia tidak ingin melihat umat
Islam tergelincir ke dalam kegelapan. Dalam cahaya suram yang kelam,
terpancarlah sinar yang membawa seribu harapan. Khalifah Umar Abdul Aziz
menyelamatkan Islam dan umatnya dengan mengembalikan Islam seolah-olah ke
zaman permulaannya.

Umar Abdul Aziz adalah seorang bangsawan yang berbudi halus dan wara’.
Walaupun dikelilingi dengan kekayaan dan kemewahan, beliau tidak hanyut
dan leka. Beliau menjadi kegilaan anak gadis kerana ketampanannya, dan
sering menjadi ikutan pemuda pada zaman itu. Sejak kecil lagi beliau didik
dengan ilmu agama. Minat dan kecenderuangan beliau kepada ilmu,
membawa
beliau ke kota Madinah. Di sanalah beliau mempelajari dan mendalami ilmu
agama dari tokoh-tokoh Islam zaman itu. Semasa pemerintahan al-Walid ibn
Abdul Aziz, beliau telah menjadi gabenor Madinah selama 7 tahun. Di sini
beliau telah menunjukkan ciri-ciri seorang pemimpin Islam sejati. Sehingga
Anas ibn Malik berkata: “Aku tidak pernah menjumpai Imam
selepas
Rasulullah s.a.w. yang menyerupai sembahyangnya seperti Rasulullah s.a.w.
kecuali pemuda ini, Umar Abdul Aziz iaitu gabenor Madinah”

Sebaik saja dilantik sebagai khalifah, Umar Abdul Aziz terus membersihkan
kerajaan dengan memecat gebenor dan pegawai yang kejam dan tidak adil.
Hamba sahaya milik
keluarga di raja juga telah dimerdekakan, semua barang
kemas dan hadiah yang diterima beliau dan isterinya semasa pertabalan
telah diserahkan semuanya kepada Baitul Mal. Istana pula telah dihias
secara sederhana sahaja. Umar Abdul Aziz menganggap dirinya sebagai
pengganti kepada datuknya iaitu khalifah Umar al-Khattab. Kerana itulah
beliau digelar sebagai Umar II. Hidup beliau telah berubah sama sekali,
kemewahan dan kemegahan telah ditanggalkan dan digantikan dengan kehidupan
yang penuh zuhud dan kesederhanaan.

Pernah suatu ketika, Umar Abdul Aziz memerhatikan anak-anak perempuannya
menutup mulut dengan tangan ketika berbual dengannya. Selepas menyiasat,
beliau dapati hanya bawang dan kacang
sahaja yang terdapat dirumahnya.
Anak-anaknya berbuat demikian kerana takut menganggu beliau dengan bau
bawang. Dengan berlinangan air mata beliau berkata: “Wahai anakkku adakah
kamu inginkan makanan yang enak sedangkan ayahmu dihumban ke dalam
neraka?”

Beliau adalah khalifah kepada sebuah empayar terbesar zaman itu,
namun
tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk menunaikan haji. Sehinggalah
sampai satu masa, beliau diberitahu khadamnya, duit untuk menunaikan haji
telah mencukupi hasil dari pendapatannya sebagai khalifah. Akan tetapi
Umar menjawab: “Kami telah mengambil manfaat harta ini sekelian lama.
Sekarang orang Islam berhak menikmati hasilnya.” Kemudian
beliau
memasukkan semua hasil pendapatan itu ke dalam Baitul Mal. Pernah juga
Umar Abdul Aziz datang untuk lewat menghadiri solat Jumaat kerana terpaksa
menunggu bajunya yang sehelai itu kering.

Beliau adalah seorang yang zuhud dan sangat berhati-hati. Jika ada
mana-mana pegawai dan ahli keluarga yang ingin menemuinya atas urusan
peribadi, serta merta beliau memadamkan lilin yang dibekalkan kerajaan dan
menggunakan lilinnya sendiri. Beliau tidak pernah mengguna air panas
daripada dapur awam atau menghidu wangi-wangian milik Baitul Mal.

Dalam pentadbiran pula, Umar Abdul Aziz telah mengubah kerajaannya
sehingga kebajikan rakyat menjadi matlamat utama. Sebelum Umar, perhatian
negara hanya terhad kepada memungut hasil cukai dan pembangunan material
tanpa memberi penumpuan kepada pembangunan rohani dan keagamaan.
Sebaliknya, semasa pemerintahan beliau, sangat sukar untuk berjumpa dengan
pengemis atau fakir miskin yang berhak menerima zakat. Pernah Yahya Ibn
Sa’id meriwayatkan,
Umar melantik beliau memungut zakat di Afrika, setelah
selesai memungut zakat beliau mencari orang-orang yang berhajat kepada
zakat, tatapi gagal bertemu seorang pun yang boleh diberi bantuan. Lalu
beliau membeli beberapa orang hamba sahaya dan memerdekakan mereka bagi
pihak kaum muslimin.

Umar Abdul Aziz
selalu mengutamakan prinsip, tuntutan moral dan kehendak
agama daripada keuntungan politik yang berbentuk duniawi. Dengan
keunggulan peribadi dan kehebatan kerajaan yang dipimpinnya, semakin ramai
orang bukan Islam memeluk Islam.

Selain daripada kemakmuran hidup, Umar Abdul Aziz telah membawa perubahan
yang lebih besar lagi dalam kerajaannya
iaitu mangubah kecenderungan dan
sikap rakyat jelata. Jika semasa zaman Khalifah al-Walid, perbincangan
rakyat lebih tertumpu kepada bangunan dan seni bina kerana itulah
kecenderungan al-Walid, Khalifah Sulaiman pula minat kepada perempuan dan
majlis makan yang besar, dan itulah menjadi keasyikan dan perbualan
rakyatnya. Tetapi dalam masa pemerintahan Umar Abdul Aziz, tajuk-tajuk
yang berkaitan dengan sembahyang, doa dan ibadah menjadi topik perbualan
utama. Masing-masing bermuhasabah untuk meningkatkan nilai ibadah mereka.

Pembaharuan yang beliau lakukan dalam masyarakat Islam adalah hasil
pancaran cahaya rohani dalam dirinya. Keimanan yang teguh, cinta dan takut
kepada Allah s.w.t. dan keyakinan terhadap hari pembalasan menjadikan
beliau seorang pemimpin agung dalam sejarah Islam. Sehingga ada orang
mengatakan beliau adalah khalifah Islam yang kelima daripada Khulafa
ar-Rasyidin selepas Sayidina Abu Bakar, Umar, Othman dan Ali. Andai kata
beliau ditakdirkan memerintah lebih lama, sudah pasti dunia Islam akan
menyaksikan perubahan yang menyeluruh dalam semua aspek kehidupan. Tetapi
kehendak tuhan mengatasi keinginan dan impian manusia. Beliau telah
dipanggil mengadap Ilahi setelah dua tahun lima
bulan memayungi umat Islam
dengan al-Quran dan sunnah Rasulullah s.a.w.

Oleh: Ibad Ahmady

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s

%d blogger menyukai ini: